puteri-bp

Friday, August 28, 2009

Pengumuman


Semua ahli Puteri UMNO Bahagian Batu pahat adalah dijemput untuk menghadiri program Pengimarahan Ramadhan (gotong royong memasak & mengedarkan bubur lambuk) yang dijangka berlangsung pada Ahad 30 Ogos 2009 jam 10.30 pagi bertempat di Surau An-Nur Taman Soga Batu Pahat.

Penglibatan semua adalah amat dihargai.Terima Kasih
.

Cahaya Di Hari Kiamat


Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan:
* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.
* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.
* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.

Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab :
"Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia
sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi."

Thursday, August 27, 2009

Strategi defensif antara punca kekalahan BN


BUKIT MERTAJAM 26 Ogos - Pendekatan serta strategi terlalu defensif terhadap calon yang digunakan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Permatang Pasir merupakan antara punca kekalahan parti itu di kerusi tersebut.

Penganalisis Politik, Dr. P. Sivamurugan berkata, analisis awal mendapati, strategi BN yang sentiasa mendiamkan diri setiap kali diasak oleh Pas dan rakan-rakan pakatan pembangkang juga menyebabkan kekalahan mereka di kawasan itu.

Selain masalah itu, katanya, pengundi Cina di kawasan berkenaan juga didapati masih lagi tidak mahu menukar keseimbangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tanggapan satu undi tidak mampu mengubah keputusan pilihan raya kecil itu.

''Bagaimanapun, kita perlu akui bahawa Permatang Pasir merupakan satu-satunya kerusi milik Pas malah ia juga terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh di mana ia kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Justeru, faktor itu sendiri juga masih berjaya mempengaruhi pengundi di kawasan Permatang Pasir," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir menyaksikan calon Pas Mohd. Salleh Man, 52, menang dengan memperoleh 9,618 undi menewaskan wakil Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lepas kerana serangan jantung.

DUN Permatang Pasir merupakan kubu Pas di Pulau Pinang dan satu-satunya kerusi yang dimenangi parti itu sejak tiga penggal lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd. Hamdan mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi setelah memperoleh 11,004 undi.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, BN juga dilihat tidak banyak mengambil peluang untuk menggunakan pelbagai isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Dalam pada itu, Sivamurugan memberitahu, ahli-ahli BN yang difahamkan dianggarkan berjumlah lebih 5,000 orang turut didakwa tidak menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kali ini.

''Di mana mereka ini semua, adakah tidak keluar mengundi atau pun ahli BN sendiri tidak memangkah calon mereka kerana jika kita lihat jumlah yang diperoleh Rohaizat hanya 5,067 sedangkan ahli-ahli BN melebihi jumlah itu?

''Jadi, itu semua antara kesimpulan analisis awal yang dapat dibuat daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir yang diperoleh kali ini," ujarnya.

Ikhsan Utusan Online.

Sunday, July 12, 2009

Kempen Budi Bahasa kepada Masyarakat.Berbaloikah?


Lagu "Budi Bahasa Budaya Kita" nyanyian penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah lama menjadi siulan ramai, dan pencapaian program budi bahasa ini dilaporkan membanggakan, terutama di peringkat barisan depan perkhidmatan awam.

Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan pada 11 Jan 2005 merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam misinya melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

Situasi di mana pemandu tidak bertimbang rasa di jalan raya, orang ramai membuang sampah sesuka hati, memotong barisan, tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan, bercakap kasar dengan pelanggan dan merokok di kawasan larangan merokok ialah antara situasi biasa yang masih dilihat.

Malah budi bahasa yang paling asas iaitu melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih masih sukar dilihat dalam masyarakat kini.

Beberapa pakar yang ditemui berkata kempen itu, yang kini dinamakan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni, baik tujuannya dan memang perlu diteruskan biarpun keberkesanannya belum meluas.

KEMPEN BELUM MELUAS

Pengarah pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata keberkesanan kempen itu dilihatnya masih terbatas.

"Kempen yang dijalankan ini bercorak dari atas ke peringkat bawah, akar umbi.Jadi program yang diadakan selalunya bercorak rasmi dan lebih kepada pegawai kerajaan dan tidak sampai ke peringkat sekolah mahupun disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO)," katanya kepada Bernama di sini.

Profesor Antropologi Sosial itu berkata program sedemikian seharusnya diperluas dengan lebih menyeluruh termasuk dalam kalangan pemimpin seperti anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri.

"Kempen ini ialah sesuatu yang baik dan perlu diteruskan. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negara ini dan pastinya bagi mengeratkan lagi hubungan sesama kaum," katanya.

Pakar pembangunan polisi Prof Madya Dr Azahari Ismail pula berkata kesan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni terhadap masyarakat adalah sedikit dan masih belum menjadi sebahagian budaya masyarakat kini.

"Budi bahasa dalam masyarakat kita belum lagi mencukupi. Kempen ini bagus tetapi kita tidak boleh bergantung kepada kempen rasmi sahaja dan perlulah dimasukkan ke dalam sistem pendidikan di sekolah," katanya.

PENGARUH ASING

Beliau juga berkata kemasukan pekerja asing ke negara ini juga memburukkan lagi tahap budi bahasa dalam kalangan masyarakat.

Contohnya pekerja asing di kedai mamak, yang kebanyakannya jika mahu mengambil kerusi atau pun sudu daripada meja pelanggan, tidak akan meminta kebenaran terlebih dahulu, katanya.

"Kempen budi bahasa akan dilunturkan oleh pengaruh luar seperti pekerja asing ini. Kita kena ajar mereka, kerana pekerja asing ini tidak diajar dengan budaya dan budi bahasa tempatan, dan tidak ada pihak yang mahu mengambil tanggungjawab membimbing mereka," katanya.

Dr Azahari berkata budi bahasa sesebuah masyarakat juga berkait rapat dengan kemudahan infrastruktur.

Sebagai contoh, katanya, ruang di pasar raya negara ini yang terlalu sempit tidak menggalakkan seseorang itu untuk berbudi bahasa.

"Satu lagi contoh yang kita boleh lihat ialah mengapa di lobi hotel misalnya tidak ada sampah dibuang merata-rata berbanding tempat lain. Ini kerana banyak tong sampah disediakan dan menghormati barang juga tergolong dalam berbudi bahasa. Inilah yang saya maksudkan tentang kaitan infrastruktur dan budi bahasa," katanya.

Menerusi pengamatannya semasa ke luar negara, Azahari berkata Amerika Syarikat merupakan sebuah daripada negara yang mempunyai budi bahasa yang tinggi.

"Jika kita mempunyai barang yang banyak dan mahu membuka pintu kereta misalnya, akan ada orang yang membantu membuka pintu ataupun membantu mengangkat barang. Berbeza dengan keadaan di negara ini," katanya.

PEMIMPIN BELUM HAYATI KEMPEN

Sementara itu, pensyarah komunikasi ucapan di UPM, Prof Madya Dr Abdul Mua'ti@Zambri Ahmad berkata pemimpin secara umumnya masih belum menghayati program Budi Bahasa ini.

"Kempen ini sepatutnya ditumpukan kepada golongan pemimpin dalam masyarakat terdahulu yang mana semua tindakan pemimpin ini akan menjadi ikutan. Bila pemimpin sendiri sudah menghayati kempen ini maka mereka akan dijadikan contoh," katanya.

Dr Zambri yang telah menerbitkan pelbagai buku termasuk Panduan Pengucapan Awam dan Santun Komunikasi berkata pada setiap semester beliau membawa pelajarnya untuk melihat sendiri anggota Parlimen berdebat.

"Secara keseluruhannya, daripada 10 lawatan yang diadakan hanya satu kelas sahaja yang mengatakan mutu perdebatan anggota Parlimen baik dan selebihnya mengatakan perdebatan yang diadakan semasa kelas lebih baik mutunya berbanding di Parlimen," katanya.

Beliau berkata pemimpin perlu bercakap berdasarkan fakta dan dalam keadaan rasional bukan hanya bersandarkan emosi.

BAHAS BOLEH DILAKUKAN SECARA HARMONI

Katanya anggota Parlimen dan juga Adun seharusnya menyampaikan mutu perdebatan yang lebih berkualiti dan cara berbahas yang bersesuaian dengan institusi Parlimen ataupun DUN yang dianggap mulia itu.

"Cara berbahas ini banyak yang perlu ditekankan yang pertama sekali ialah mengenai bahasa. Bahasa haruslah menggunakan bahasa yang baik biarpun tidak menggunakan bahasa yang indah, janganlah mereka ini memaki hamun, memalukan atau menjatuhkan air muka orang lain kerana ia tidak sesuai," katanya.

Selain itu katanya nada penyampaian perlu bersesuaian dengan status pemimpin itu.

"Kini saya lihat ada anggota Parlimen yang terjerit-jerit semasa dalam perbahasan. Perbahasan sebenarnya boleh dilaksanakan secara harmoni dengan penggunaan bahasa yang baik sejajar program Budi Bahasa ini," katanya, umpama ungkapan pantun budi ini:

Tingkap papan kayu bersegi

Sampan sakat di Pulau Angsa

Indah tampan kerana budi

Tinggi darjat kerana bahasa

-- BERNAMA

Tuesday, June 16, 2009

Pembangkang Terus Tabur Fitnah;Semai Benci Terhadap BN


Usaha untuk semai rasa benci masyarakat bukan Melayu terhadap Barisan Nasional nampaknya tidak ada sempadan.

Entah dari mana Karpal Singh dapat cerita mendakwa Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak semasa mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1987 ada berkata beliau tidak akan memasukkan kembali keris yang dihunus tanpa dibasahi darah masyarakat Cina.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu membangkitkannya dalam soalan tambahan kepada Perdana Menteri selepas beliau buat pertama kali menjelaskan mengenai gagasan Satu Malaysia di Parlimen Isnin.

Beliau ingin tahu bila Najib nak memohon maaf kerana membuat kenyataan itu.

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak pernah menghunus keris dan berkata seperti didakwa oleh Karpal Singh.

"Insiden itu tidak pernah berlaku dan saya tidak perlu meminta maaf tetapi sebaliknya Karpal yang perlu meminta maaf," katanya.

Mengenai gagasan IMalaysia sebagai menjawab soalan lisan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) ,Najib menjelaskan mengenai pelaksanaan dan penerapannya kepada masyarakat majmuk di negara ini serta bagaimana gagasan ini akan dapat lebih bermanfaat dalam menterjemahkan kejayaan Wawasan 2020.

Beliau berkata sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April lepas, konsep 1Malaysia diketengahkannya dan perkara itu sering dibincang dan dibahaskan di kalangan rakyat di semua peringkat.

"Malah pihak pembangkang tidak membuang masa untuk memutarbelit dan mentafsirkan gagasan ini mengikut definisi mereka sendiri, semata-mata dengan niat mengelirukan rakyat," katanya.


Perdana Menteri berkata 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

"Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata 1Malaysia bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara.

"Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

"Jika `Bangsa Malaysia' yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu," katanya.

Najib berkata perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.

Katanya 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep "Malaysian Malaysia" parti pembangkang kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada ruh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat.

Gagasan 1Malaysia, katanya kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

"Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata 1Malaysia menekankan sikap "penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

"Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata," kata beliau.

Najib berkata apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan.

"Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.

"Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh.

Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar, katanya.

Najib berkata formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama dengan yang pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

"Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan ketiga adalah keadilan sosial," katanya.

Beliau berkata teras-teras perpaduan ini pula didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Katanya aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya.

Elemen-elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Najib berkata pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.

Beliau berkata dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia.

"Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat.

"Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat.

"Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan," katanya.

Perdana Menteri berkata sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri.

Beliau berkata seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemahkan hasrat kerajaan.

"Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.

"Di atas segalanya, 1Malaysia `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia," katanya lagi.

Yang Lucu tentang "HU"...

Baru-baru ini sewaktu saya menghadiri kuliah, pensyarah saya ada memberi tayangan selingan kepada saya dan rakan-rakan. Ianya tentang bagaimana Bahasa Inggeris itu disalah erti maksudnya apabila kita berkomunikasi melalui telefon/tanpa bersemuka.

Hmm...memang lucu... :)

Saturday, June 6, 2009

Hayati Konsep 1 Malaysia


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu segenap lapisan rakyat menghayati konsep 1Malaysia yang telah diketengahkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional yang telah disemai sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara.

"Semua rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana mereka yang akan menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara itu," titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanahair yang berdaulat, kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.


“Beta amat sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa dan etnik yang menganuti agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang berbagai juga dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati,” titah Baginda sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Istana Negara di sini, hari ini.

Tuanku Mizan turut melahirkan sukacita terhadap konsep 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berprinsipkan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Bagaimanapun, titah Baginda kerajaan perlu terus memperkemas dan mempertingkat jentera pentadbiran dan pelaksanan negara, yang menjadi nadi penting pembangunan negara, agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Baginda juga mahu generasi muda negara ini supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

“Sesungguhnya Malaysia satu-satunya negara kita, harta yang paling berharga, lambang maruah dan kehormatan bersama dan apa yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan kepada anda semua untuk meneruskan perjuangannya,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda dan Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengucapkan terima kasih kepada Najib, yang mewakili kerajaan, anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan serta rakyat dalam menyembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada baginda.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa syukur kerana proses peralihan teraju kepimpinan negara pada April lalu telah berjalan dengan lancar dan sempurna.

"Kepada Datuk Seri Najib Razak, syabas Beta ucapkan kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri serta telah menunjukkan kepimpinan dan komitmen yang dinamik sepanjang pentadbiran beliau, sejak April yang lalu," titah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan kepimpinan yang telah beliau sumbangkan kepada negara ini.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap agar pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Baginda bertitah ini amat penting khasnya dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan tekanan ekonomi yang mencabar dan hampir tidak terduga dan oleh itu pelaksanaan pembangunan perlu disegerakan bagi kepentingan seluruh rakyat.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana kerajaan akan mengubal satu model baru ekonomi yang baginda yakin dapat mencipta kapasiti baru kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

Baginda juga percaya bahawa kerajaan dapat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan bagi meningkatkan lagi usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan mengambil kira keperluan sosial masyarakat bagi menghasilkan ketenteraman dan kesejahteraan kepada rakyat agar tiada kaum atau golongan termasuk wanita, belia, orang tua dan yang kurang upaya daripada tercicir.

"Sesungguhnya, dasar kerajaan yang sedia ada telah berjaya mewujudkaan keseimbangan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum dengan strategi pembangunan ekonomi yang bijak.

"Beta berpuashati kerana golongan rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara semakin kecil jumlahnya," titah baginda.

Kerajaan telah melancarkan dua pakej rangsangan ekonomi tahun lalu yang keseluruhannya bernilai RM67 bilion. - Bernama

Tuesday, April 28, 2009

Mari Sebarkan Talian NUR


Salam semua...

Adakah anda selama ini menjadi mangsa penderaan seksual,keganasan rumahtangga,penderaan fizikal ? Atau juga anda pernah mengetahui tentang kejadian penderaan dan penganiayaan ke atas wanita dan golongan kanak-kanak berhampiran anda?

Pernahkah anda terfikir untuk mengambil langkah wajar bagi menyelamatkan keadaan yang melanda?Mungkin dengan tindakan anda yang kecil,mampu membawa situasi yang sebegini besar menjadi lebih terkawal.

Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat sudah lama melancarkan Talian NUR untuk kegunaan masyarakat demi menyalurkan bantuan kepada golongan teraniaya.Cumanya pendedahan terhadap talian ini masih belum meluas dan majoriti masyarakat luar masih belum mengetahui tentang pentingnya talian NUR ini.

Kita cuma perlu dial 15999 untuk mendapatkan bantuan segera bagi mengatasi masalah keganasan/penderaan yang berlaku.Talian ini juga adalah berkesinambungan dengan khidmat polis dan badan kecemasan yang lain.

Ianya amat mudah untuk kita lakukan..
Cuma Dial 15999 dan mungkin kita mampu selamatkan keadaan...

Pilihanraya Kecil DUN Penanti


PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh keluar writ ditetapkan pada hari ini manakala tarikh notis dikeluarkan pada Khamis ini.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 17 April berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya N.12 Penanti berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin melalui suratnya bertarikh 19 Mac 2009.

“Sehubungan ini, setelah meneliti pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta salinan surat peletakan jawatan oleh ADUN berkenaan yang dilampirkan bersama pemakluman tersebut maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN N.12 Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu,” katanya pada persidangan akhbar di sini hari ini.

Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Abdul Aziz berkata Daftar Pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemaskini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, katanya 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

Beliau berkata SPR mensasarkan kira-kira 80 peratus jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada hari tersebut memandangkan hari mengundi adalah hari Ahad, di mana sebanyak 82.1 peratus pengundi keluar mengundi untuk kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.

Katanya SPR akan menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi manakala bagi urusan pengundian pos, proses pengeluaran dan pengiraan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.