puteri-bp

Tuesday, June 16, 2009

Pembangkang Terus Tabur Fitnah;Semai Benci Terhadap BN


Usaha untuk semai rasa benci masyarakat bukan Melayu terhadap Barisan Nasional nampaknya tidak ada sempadan.

Entah dari mana Karpal Singh dapat cerita mendakwa Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak semasa mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1987 ada berkata beliau tidak akan memasukkan kembali keris yang dihunus tanpa dibasahi darah masyarakat Cina.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu membangkitkannya dalam soalan tambahan kepada Perdana Menteri selepas beliau buat pertama kali menjelaskan mengenai gagasan Satu Malaysia di Parlimen Isnin.

Beliau ingin tahu bila Najib nak memohon maaf kerana membuat kenyataan itu.

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak pernah menghunus keris dan berkata seperti didakwa oleh Karpal Singh.

"Insiden itu tidak pernah berlaku dan saya tidak perlu meminta maaf tetapi sebaliknya Karpal yang perlu meminta maaf," katanya.

Mengenai gagasan IMalaysia sebagai menjawab soalan lisan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) ,Najib menjelaskan mengenai pelaksanaan dan penerapannya kepada masyarakat majmuk di negara ini serta bagaimana gagasan ini akan dapat lebih bermanfaat dalam menterjemahkan kejayaan Wawasan 2020.

Beliau berkata sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April lepas, konsep 1Malaysia diketengahkannya dan perkara itu sering dibincang dan dibahaskan di kalangan rakyat di semua peringkat.

"Malah pihak pembangkang tidak membuang masa untuk memutarbelit dan mentafsirkan gagasan ini mengikut definisi mereka sendiri, semata-mata dengan niat mengelirukan rakyat," katanya.


Perdana Menteri berkata 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

"Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata 1Malaysia bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara.

"Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

"Jika `Bangsa Malaysia' yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu," katanya.

Najib berkata perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.

Katanya 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep "Malaysian Malaysia" parti pembangkang kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada ruh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat.

Gagasan 1Malaysia, katanya kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

"Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata 1Malaysia menekankan sikap "penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

"Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata," kata beliau.

Najib berkata apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan.

"Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.

"Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh.

Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar, katanya.

Najib berkata formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama dengan yang pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

"Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan ketiga adalah keadilan sosial," katanya.

Beliau berkata teras-teras perpaduan ini pula didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Katanya aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya.

Elemen-elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Najib berkata pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.

Beliau berkata dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia.

"Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat.

"Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat.

"Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan," katanya.

Perdana Menteri berkata sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri.

Beliau berkata seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemahkan hasrat kerajaan.

"Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.

"Di atas segalanya, 1Malaysia `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia," katanya lagi.

Yang Lucu tentang "HU"...

Baru-baru ini sewaktu saya menghadiri kuliah, pensyarah saya ada memberi tayangan selingan kepada saya dan rakan-rakan. Ianya tentang bagaimana Bahasa Inggeris itu disalah erti maksudnya apabila kita berkomunikasi melalui telefon/tanpa bersemuka.

Hmm...memang lucu... :)

Saturday, June 6, 2009

Hayati Konsep 1 Malaysia


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu segenap lapisan rakyat menghayati konsep 1Malaysia yang telah diketengahkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional yang telah disemai sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara.

"Semua rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana mereka yang akan menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara itu," titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanahair yang berdaulat, kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.


“Beta amat sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa dan etnik yang menganuti agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang berbagai juga dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati,” titah Baginda sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Istana Negara di sini, hari ini.

Tuanku Mizan turut melahirkan sukacita terhadap konsep 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berprinsipkan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Bagaimanapun, titah Baginda kerajaan perlu terus memperkemas dan mempertingkat jentera pentadbiran dan pelaksanan negara, yang menjadi nadi penting pembangunan negara, agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Baginda juga mahu generasi muda negara ini supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

“Sesungguhnya Malaysia satu-satunya negara kita, harta yang paling berharga, lambang maruah dan kehormatan bersama dan apa yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan kepada anda semua untuk meneruskan perjuangannya,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda dan Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengucapkan terima kasih kepada Najib, yang mewakili kerajaan, anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan serta rakyat dalam menyembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada baginda.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa syukur kerana proses peralihan teraju kepimpinan negara pada April lalu telah berjalan dengan lancar dan sempurna.

"Kepada Datuk Seri Najib Razak, syabas Beta ucapkan kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri serta telah menunjukkan kepimpinan dan komitmen yang dinamik sepanjang pentadbiran beliau, sejak April yang lalu," titah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan kepimpinan yang telah beliau sumbangkan kepada negara ini.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap agar pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Baginda bertitah ini amat penting khasnya dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan tekanan ekonomi yang mencabar dan hampir tidak terduga dan oleh itu pelaksanaan pembangunan perlu disegerakan bagi kepentingan seluruh rakyat.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana kerajaan akan mengubal satu model baru ekonomi yang baginda yakin dapat mencipta kapasiti baru kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

Baginda juga percaya bahawa kerajaan dapat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan bagi meningkatkan lagi usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan mengambil kira keperluan sosial masyarakat bagi menghasilkan ketenteraman dan kesejahteraan kepada rakyat agar tiada kaum atau golongan termasuk wanita, belia, orang tua dan yang kurang upaya daripada tercicir.

"Sesungguhnya, dasar kerajaan yang sedia ada telah berjaya mewujudkaan keseimbangan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum dengan strategi pembangunan ekonomi yang bijak.

"Beta berpuashati kerana golongan rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara semakin kecil jumlahnya," titah baginda.

Kerajaan telah melancarkan dua pakej rangsangan ekonomi tahun lalu yang keseluruhannya bernilai RM67 bilion. - Bernama